"Hukuman Gantung". Mendengarnya sudah cukup menggerunkan. Bagaimana pula kalau bertugas sebagai tukang gantung?
Bagi Samuel (bukan nama sebenar), sepanjang "tugas khas"nya sebagai tukang gantung hampir 20 tahun, beliau terlibat atau menjalankan sendiri penggantungan 103 orang banduan, lelaki dan wanita termasuk kes-kes berprofil tinggi di Penjara Pudu, Penjara Kajang dan Penjara Taiping.
Tugasnya terkini ialah warganegara Nigeria, kira-kira tiga tahun lepas akibat kesalahan dadah.
"Bukan mudah nak mengambil nyawa orang", ujar pegawai penjara berpangkat Timbalan Penguasa yang berusia 48 tahun itu dan telah berkhidmat selama 30 tahun dengan Jabatan Penjara Malaysia.
Sepanjang kira-kira dua jam perbualan, Samuel banyak berkongsi pengalaman dan pengetahuannya tentang hukuman gantung serta pelaksanaannya.
Beliau adalah generasi ketiga dalam keluarganya bekerja sebagai pegawai penjara kerana ayah dan datuknya juga pernah berkhidmat dengan Jabatan Penjara Malaysia.
BUKAN GLAMOR
Samuel menganggap tugas khas yang dilakukannya hanya sebagai satu tugas dan sudah tentunya bukan "tugas glamor".
"Saya suka tugas yang mencabar. Di dalam penjara ini, ada dua jenis kerja yang mencabar iaitu tukang sebat dan tukang melaksanakan hukuman gantung. Kalau kita boleh buat dua kerja tu, maknanya kita telah sampai ke peringkat akhir, kalau belajar telah sampai ijazah kedoktoran," kata Samuel dalam temubual eksklusif dengan Bernama di Penjara Kajang baru-baru ini.
Ada satu sifatnya yang diberitahu kepada penulis yang mungkin memberi kelebihan untuknya menjalankan tugas khas iaitu sejak kecil, dia tidak boleh menangis dan dia dengan mudah boleh mengatasi perasaan sedih.
Seperti katanya,"nak buat kerja tugas khas ni, tak boleh ada rasa kasihan dan tak boleh cakap besar."
PEMILIHAN RAPI
Ramai pegawai penjara yang ingin menjalankan tugas khas ini tetapi prosesnya bukan mudah.
Yang memohon juga hanya mempunyai satu peluang, sekali ditolak, mereka tidak boleh memohon lagi.
Menurut Samuel, jika 30 yang memohon dan mencuba, akhirnya yang tinggal mungkin tiga atau empat orang sahaja dan ada kalanya tiada langsung.
"Sebelum dipanggil temuduga, rekod kerja kita akan diteliti, kedudukan kewangan kita juga penting. Nak buat tugas ini, fikiran tak boleh berserabut. Pandai menyimpan rahsia juga amat penting kerana pegawai yang melaksanakan tugas ini ada kalanya mendapat tahu mengenainya seminggu lebih awal," jelas Samuel.
Beliau sendiri diperhalusi "sifu-sifu"nya sebelum dibawa masuk ke bilik gantung.
"Hukuman gantung ini bukan ada tiap-tiap hari. Kadang-kala satu tahun ada satu atau tiga kali sahaja. Masa itulah kita akan dibawa sama untuk berada di dalam bilik gantung. Kalau mereka tengok kita OK, baru mereka akan beri penjelasan lanjut. Kita bukan ada kelas khas, banyak praktikal dan latihan sambil kerja," jelasnya.
TAHUN-TAHUN AWAL
Samuel yang mula menjalankan tugas khas ini semasa beliau di Pulau Jerejak di mana beliau juga menjalankan tugas sebat berkata kesempurnaan kerja bukan boleh dicapai semalaman.
Pada tahun-tahun awal dipilih untuk menjalankan tugas khas ini, beliau hanya sekadar memerhatikan hukuman dijalankan.
"Saya sudah mengikuti pasukan pelaksana hukuman gantung ini dari 1986 lagi tetapi pada masa itu saya cuma memerhatikan. Saya mula terlibat dan menjadi pembantu pada 1989," jelasnya.
Sebagai pembantu, beliau akan bersemuka dengan banduan akhir (banduan yang dijatuhi hukuman gantung) dan membawanya keluar dari bilik menanti untuk menjalani hukuman.
Banduan yang digari kedua belah tangan ke belakang dan ditutup kepalanya dengan kain "hood" akan dibawa ke bilik gantung. Samuel akan berdiri di belakang banduan akhir dan memegang badannya.
"Biasanya banduan yang akan digantung ini tidak stabil, badannya bergoyang-goyang, jadi kita kena guna tenaga yang banyak untuk membawanya ke bilik gantung," tambah Samuel.
Beliau mengakui tidak dapat tidur di tahun-tahun awal menyertai pasukan pelaksana hukuman gantung.
"Diganggu semasa tidur, benda ni biasa berlaku, bukan tak biasa. Ada orang datang minta rokok, saya kata nanti, saya tidur dulu. Ada juga yang kejut saya minta nak balik. Begitu juga kalau masuk ke dalam bilik gantung tu, perasaan tu ada lain sikit, rasa macam ada benda yang lalu.
"Selepas 10 tahun, pengalaman dah banyak, saya katakan pada diri saya kalau orang dah mati, matilah, macam mana dia nak datang (ganggu lagi)," cerita Samuel.
Beliau juga mengakui antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah menggantung banduan wanita yang disifatkannya lebih "tenang" dan diserang banduan yang agresif.
KEKUATAN MENTAL DAN FIZIKAL
Bagi mereka yang menjalankan tugas khas ini, kekuatan mental dan fizikal perlu mantap dan kental sepanjang masa.
Mereka ini sudah tentunya akan berhadapan dengan tekanan yang amat tinggi terutamanya kerana mahukan kesempurnaan tugas.
Bagi Samuel, beliau banyak berbasikal untuk mengekalkan kecergasan.
Semasa pelaksanaan hukuman gantung dibacakan kepada banduan hukuman mati, beliau dan pasukannya turut hadir di bilik pengarah. Ketika itulah, mereka akan menilai perangai atau sikap dan tahap penerimaan banduan.
Katanya, maklumat ini penting untuk mereka melaksanakan hukuman nanti.
"Kerja mempersiapkan bilik gantung ini memakan masa antara tiga hingga empat jam. Keselamatan dalam bilik gantung dan pemilihan tali gantung yang sesuai adalah di antara tugas yang perlu dibuat dengan teliti," katanya.
TALI GANTUNG
Tali gantung yang diimport ini diperbuat dari jenis jut yang paling bagus dan dibalut dengan kulit lembut supaya tidak mencederakan kulit banduan yang akan digantung.
Setiap satu berharga di antara RM4,000 satu hingga RM5,000.
Tali gantung ini semasa diterima daripada ejen pembekalnya akan diuji ketahanannya dengan menggantungkan patung seberat lebih 90 kilo selama 72 jam.
Setiap tali gantung ini mempunyai nombor siri dan ia diklasifikasikan sebagai senjata dan disimpan di dalam peti besi.
"Setiap tali gantung kita terima ada perkiraannya. Kita tak boleh pergi terus dan pasang, ada cara-cara yang kita kena ikut. Kita ada empat jenis tali dan kita pilih mengikut berat banduan," jelas Samuel.
Di antara ciri utama tali gantung ialah tembaga pembunuh yang berfungsi untuk mematahkan tengkok banduan.
APABILA RAYUAN DITOLAK
Di Penjara Kajang umpamanya banduan yang dijatuhi hukuman gantung dikenali sebagai banduan akhir dan ditempatkan di Blok Abadi sehingga hukuman dilaksanakan.
Mereka ini menghabiskan hampir 23 jam sehari sendirian di sel mereka dan hanya boleh meninggalkan sel atas kelulusan pegawai yang bertugas.
Banduan akhir mungkin terpaksa menunggu bertahun-tahun sehingga habis keseluruhan proses rayuan yang membabitkan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan Jemaah Pengampunan Negeri.
Sekiranya rayuan kepada Badan Pengampunan ini juga ditolak, Mahkamah Persekutuan akan mengeluarkan waran untuk melaksanakan hukuman di mana di dalam waran itu akan disebut nama banduan, nombor kad pengenalannya serta masa hukuman akan dijalankan iaitu di antara 5.30 pagi hingga 6.30 pagi.
"Kita diberi satu jam untuk laksanakan hukuman. Untuk banduan beragama Islam biasanya kita akan jalankan hukuman gantung ini pada hari Jumaat, selepas solat subuh. Bagi yang bukan Islam, waktunya lebih kurang sama, cuma harinya boleh berbeza," kata Samuel.
Selepas waran dikeluarkan, banduan akhir akan dibawa berjumpa dengan pengarah penjara yang akan memaklumkan tentang pelaksanaan hukuman gantung selepas segala proses rayuan terakhir ditolak.
"Biasanya banduan akhir ini akan tahu apabila dia dibawa keluar dengan tangan bergari dan ada kawalan ketat, dia tahu keesokan harinya sesuatu yang buruk akan berlaku (dia akan digantung)," kata Samuel.
Semasa banduan akhir berada di bilik pengarah ini, kaum keluarganya yang biasanya sudah dimaklumkan seminggu lebih awal sudah menunggu di luar penjara untuk "perjumpaan terakhir."
Lazimnya suasana sedih dan pilu akan menyelubungi setiap perjumpaan terakhir ini.
Banduan juga diberi pilihan untuk "hidangan terakhir" bernilai RM7.50.
HARI PENGGANTUNGAN
Menurut Samuel, kebanyakan banduan akhir yang menjalani hukuman gantung "pergi dengan rela" setelah menunggu begitu lama untuk hukuman dilaksanakan.
"Mereka yang rajin sembahyang, tak kira agama, menunggu dengan tenang dan sudah bersedia. Ada beberapa orang sahaja yang menjadi agresif sehingga ke saat-saat terakhir.
"Ada sesetengah banduan puas hati dan beritahu saya nasib mereka lebih baik dari saya kerana mereka tahu bila mereka akan mati. Bila kita buka pintu untuk bawa mereka keluar ke bilik gantung, ada yang salam dengan kita dan ucap terima kasih. Mereka kata mereka dah tak tahan lagi menunggu," katanya.
Di hari mereka diberitahu hukuman gantung akan dijalankan, mereka akan meminta pena dan kertas untuk nota terakhir.
"Jangan ikut tabiat buruk ayah" antara kata-kata terakhir seorang banduan untuk anak-anaknya, yang masih Samuel ingat.
Banduan juga boleh memilih pakaian apa yang hendak dipakainya pada hari hukuman.
"Ada banduan beragama Islam hanya mahu pakai kemeja T dan seluar sembahyangnya. Ada yang memilih kot dan tali leher. Ada yang pakai kasut berharga RM300. Mati penuh gaya. Banduan itu kata dengan jenaka," cerita Samuel.
Hukuman gantung pula hanya dijalankan selepas semua pihak termasuk pengarah dan doktor berpuas hati dengan keadaan banduan pada hari hukuman akan dilaksanakan.
BILA PINTU PERANGKAP RENGGANG
Pintu perangkap di bilik gantung di mana banduan akhir berdiri akan secara automatik renggang sepenuhnya bila "gear" ditarik.
Di bawah lantai pintu perangkap ada ruang kosong dengan ketinggian 5.18 meter.
Bunyi pintu perangkap yang terbuka dengan kuatnya memecah kesunyian suasana penjara.
Menurut Samuel, proses menggantung dari masa banduan dibawa keluar dari bilik menanti ke bilik gantung dan pengarah memberi isyarat kepada tukang gantung untuk menarik "gear" yang akan antaranya membuka pintu perangkap hanya mengambil masa kira-kira 15 saat.
Semuanya perlu dibuat dengan lancar dan menurut Samuel, kematian berlaku dalam masa di antara 30 saat hingga satu minit dan banduan akan diturunkan dan diletak di atas troli selepas setengah jam dibiar tergantung.
"Saya sering mengingatkan pembantu-pembantu saya supaya menghormati jenazah kerana dia sudah menjalani hukuman. Kalau kita hormat pada dia, semuanya tak ada masalah.
"Bagi saya pula, kebiasaannya saya akan pandang muka jenazah ini dan letakkan tangan saya di atas dadanya. Ini petua yang diberi oleh bos- bos saya dulu," kata Samuel.
Menjalankan tugas khas ini memberikan banyak keinsafan kepada Samuel.
Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memupuk nilai-nilai murni kepada anak-anak mereka untuk mengelak mereka terjerumus melakukan jenayah.
"Segala-galanya bermula dari keluarga. Kalau keluarga tak kawal, lingkup. Dadah, umpamanya, kalau seorang dalam keluarga jadi penagih, satu keluarga akan terjejas," katanya sambil menjelaskan bahawa kebanyakan kes hukuman gantung adalah berkaitan dengan dadah.
Kisah - 2.
KUALA LUMPUR: “Jika kami menghalang jalan, kami ditendang atau ditumbuk dan ketika meronda pula, kami disakat dengan bayangan lembaga hitam yang merenung tajam, bayangan kanak-kanak berlari dalam kawasan penjara selain kelibat perempuan cantik yang berjalan sendirian di tengah-tengah lorong penjara,” kata Pegawai Disiplin Penjara Tapah, Sub Inspektor Sulaiman Chu Ahmad, 55, menceritakan pengalaman bertugas di Penjara Pudu ketika ia masih digunakan bagi menempatkan banduan.
Sulaiman berkata, gangguan itu yang biasanya berlaku pada waktu malam bukan saja terjadi kepada pegawai bertugas, sebaliknya turut dialami kebanyakan banduan yang melihat kelibat lelaki dengan muka mengerikan berjalan di tengah bahagian penjara hinggakan ada antara mereka yang terbabit dalam jenayah ganas turut diam dan tidak berani menegur.
“Sebenarnya, banyak kali gangguan seumpama itu berlaku di kalangan kakitangan penjara serta banduan, namun kebanyakan kami buat tidak kisah dan tidak mahu memperbesarkan hal itu kerana takut mengganggu tugas anggota lain, terutama yang baru berpindah ke sana.
“Bila mereka (pegawai baru) sendiri menceritakan gangguan dialami, baru kami berkongsi cerita mengenai gangguan yang pernah kami alami,” katanya.
Sulaiman yang bertugas 17 tahun di Penjara Pudu sebagai wardar penjara sebelum ditukar ke Penjara Tapah sebaik operasinya ditamatkan berkata, jauh sekali dirinya untuk mempercayai kewujudan makhluk halus di dalam bangunan berkenaan namun percaya, setiap yang terjadi adalah atas ketentuan Allah.
“Jika saya kata saya percaya memang wujud makhluk halus di situ, nanti orang beranggapan saya syirik pula, tapi itu antara kejadian yang saya serta rakan anggota lain alami.
“Cerita ini saya kongsi bukan untuk menakutkan sesiapa, tetapi ia antara kenangan yang mungkin tidak akan saya lupakan sepanjang berkhidmat di sana, terutama apabila mengetahui Penjara Pudu yang memenjarakan puluhan banduan itu bakal dirobohkan sepenuhnya bagi dibangunkan untuk keselesaan rakyat,” katanya.
Menurut Sulaiman, sepanjang bertugas di penjara yang pernah memenjarakan ribuan penjenayah ganas dan berbahaya seperti Botak Chin dan Batang Kali, beberapa kawasan di dalam penjara boleh dianggap keras, dipercayai menjadi laluan makhluk halus.
Katanya, beberapa tempat berkenaan membabitkan kawasan tangga, pintu masuk ke bilik tidur kakitangan dan bilik akhir (bilik penggantungan).
“Ketika saya mula-mula bertugas pada waktu malam selepas seminggu ditukarkan ke Penjara Pudu, pernah beberapa kali saya terasa seperti ditolak dari bahagian belakang, sedangkan ketika itu saya bertugas meronda sendirian.
“Waktu mula-mula terkena gangguan berkenaan, saya ingatkan saya tersalah langkah, tetapi bila beberapa kali terasa seperti ditolak, ditendang serta ditumbuk, saya terus tidak duduk di kawasan itu, melainkan jika waktu meronda saja,” katanya.
Sulaiman berkata, pernah satu ketika, beberapa banduan turut menceritakan beberapa kali melihat kelibat lelaki berjalan di tengah-tengah bahagian penjara sebaik mereka mahu melelapkan mata dan apabila diteliti, lelaki itu bukan kakitangan penjara.
“Cerita ini disampaikan oleh beberapa banduan kepada saya sewaktu bertugas di sana, di mana mereka mendakwa beberapa kali melihat seorang lelaki dengan wajah mengerikan berjalan di tengah-tengah laluan sel tahanan mereka.
“Pada mulanya mereka beranggapan ia adalah wardar yang meronda tetapi bila diamati, lelaki itu mempunyai wajah mengerikan, menyebabkan mereka yang terkena gangguan itu tidak jadi menegur, sebaliknya mendiamkan diri saja,” katanya.
Sementara itu, pelakon, Abu Bakar Juah, yang pernah berkhidmat sebagai Inspektor Penjara selama 11 tahun di Penjara Pudu sebelum ditukar ke Penjara Kajang sebagai Pengarah Penjara turut mendakwa melihat bebola api terbang di dalam kawasan Penjara Pudu sebelum lenyap dengan sendiri.
Menurut Abu Bakar, peristiwa melihat bebola api berterbangan dari hujung blok yang menempatkan banduan itu antara kenangan pelik yang pernah dialami sepanjang bertugas di sana.
“Sebenarnya saya susah hendak percaya perkara mistik dan tahyul, tetapi kejadian melihat bebola api terbang itu menimbulkan perasaan pelik.
“Waktu itu saya bertugas seperti biasa dan secara tiba-tiba terasa satu perasaan pelik, menyebabkan saya menoleh ke arah blok tahanan banduan sebelum melihat bebola api yang marak membakar terbang melintas blok hinggalah ia hilang dengan sendiri,” katanya.
Menurut Abu Bakar, peristiwa itu masih menjadi tanda tanya kepadanya hingga ke hari ini berikutan di kawasan penjara sebarang benda berbahaya, termasuk yang mampu mencetuskan api, adalah dilarang.
“Mahunya tidak pelik, mana mungkin banduan boleh mencetuskan api sedangkan semua benda yang dikategorikan berbahaya dilarang sama sekali di dalam penjara dan lebih membuatkan saya musykil, ia terbang dalam keadaan sangat laju sebelum hilang,” katanya.
Selain itu, Abu Bakar berkata, insiden lori tangki minyak yang hidup tiba-tiba sebelum bergerak juga antara peristiwa misteri dialaminya serta beberapa kakitangan penjara lain.
Menurut Abu Bakar, lori itu yang ditempatkan di kawasan simpanan kenderaan Penjara Pudu yang terletak di tengah-tengah pintu masuk itu secara tiba-tiba bergerak sejauh lima meter sebelum berhenti dengan sendiri.
Katanya, apabila anggota bertugas memeriksa lori berkenaan, mereka tidak menjumpai sesiapa dan lebih pelik lagi bagaimana enjinnya boleh dihidupkan sedangkan kunci kenderaan itu masih tersimpan di pejabat.
Menurutnya, walaupun gangguan berkenaan antara kenangan yang tidak dapat dilupakan, kerja-kerja merobohkan bangunan itu untuk didirikan pusat komersial lebih membuatkan dirinya berasa sedih.
“Namun perkara ini saya anggap ada kebaikannya kerana jika tidak dibangunkan, ia memang satu kerugian dan jika dirobohkan pula bangunan (Penjara Pudu) itu, nilai sejarahnya juga turut hilang.
“Jadi, bagi mengekalkannya pada masa sama, saya harap pihak berkaitan dapat mendirikan satu monumen bagi mengenang semula kawasan itu yang pernah menempatkan sebuah penjara yang menahan ribuan penjenayah berbahaya,” katanya.
Tembok Penjara Pudu sepanjang 394 meter dengan ketinggian 4.5 meter terpaksa dirobohkan Isnin lalu, bagi memberi laluan kerja pembinaan laluan bawah tanah dan pelaksanaan jalan raya di persimpangan antara Jalan Pudu dan Jalan Hang Tuah.
No comments:
Post a Comment