Suatu
hari saya dikunjungi oleh pasangan suami isteri yang datang untuk
mendapatkan rawatan. Ketika mereka datang si suami memapah isterinya
dalam keadaan yang amat payah kerana isterinya tidak dapat berjalan.
Kelihatan kaki dan tangan isterinya bengkak dan mengeluarkan bahang
seperti orang yang kena demam panas. Isterinya tidak mampu untuk
mengeluarkan kata-kata kerana menahan kesakitan yang amat sangat.
Kedengaran dia hanya mengerang kesakitan.
Menurut
si suami, isterinya terkena badi mayat, dan semenjak empat hari yang
lalu dia mengadu arwah adiknya yang baru meninggal dunia seminggu yang
lepas kerap datang menemuinya meminta tolong. Konon adiknya tersiksa di
alam barzakh dan meminta isterinya mengadakan kenduri arwah untuknya.
Kebetulan
ketika itu pelajar-pelajar yang baru mengikuti kursus Rawatan Islam
anjuran saya datang ke rumah untuk bertukar-tukar pendapat. Jadi pada
hari itu dapatlah kami ramai-ramai melakukan rawatan keatas wanita
tersebut.
Saya
bertanyakan dengan lebih lanjut, bagaimana punca isterinya boleh sakit
sebegini. Menurut si suami lagi, ketika arwah adik isterinya meninggal
dunia, mayatnya disimpan di bilik mayat hospital. Kemudian mereka
diminta datang untuk pengesahan waris, ketika sampai di bilik mayat,
isterinya membuka kain penutup mayat untuk melihat wajah si mati,
kebetulan apabila terbuka sahaja kain penutup mayat, tiba-tiba telefon
bimbit beliau berdering menyebabkan beliau terlalu terkejut dan jatuh
terkulai. Seluruh anggota badan isterinya menjadi lemah dan sejak
kejadian itu isterinya mulai jatuh sakit.
Setelah
mendapat penjelasan, kami pun memulakan sessi rawatan. Kami
beramai-ramai membaca ruqyah. Kelihatan wanita tersebut amat tidak
selesa dan mula mengerang dengan agak kuat. Saya menyedari bahawa jin
yang menganggu wanita tersebut sudah menzahirkan dirinya. Saya mula
berinteraksi dengan bertanyakan jin tersebut siapakah dia. Pada mulanya
dia mengaku bahawa dia adalah arwah adik wanita tersebut yang baru
meninggal akibat kemalangan jalan raya. Dia memberitahu mukanya sudah
pecah dan sudah tidak seperti muka manusia lagi. Dia meminta belas
kasihan supaya membantunya.
Menyedari
bahawa ini adalah tipu daya jin, saya meminta ia keluar dan mengugut
untuk menyiksanya dengan siksaan yang berat, kerana dia menganggu wanita
ini dan membuat tipu daya untuk memesongkan aqidah manusia. Setelah
saya mengenakan beberapa siksaan barulah jin tersebut mengaku bahawa dia
sebenarnya adalah jin dari bilik mayat hospital. Dia mengambil
kesempatan untuk masuk kedalam tubuh wanita tersebut ketika wanita itu
didalam keadaan terperanjat sewaktu di bilik mayat hospital tempohari.
Perlu
kita ambil perhatian, diantara waktu dan ketika-ketika jin suka
menganggu dan masuk ke tubuh manusia ialah ketika manusia terlalu suka,
terlalu sedih, terlalu marah, terlalu bernafsu dan terlalu takut atau
terlalu terperanjat. Kerana itulah Islam menganjurkan kita agar sentiasa
berada didalam keadaan tenang dan jangan bersifat keterlaluan didalam
satu-satu perkara kerana dikhuatiri syaitan akan mencampuri urusan kita
ketika itu.
Akhirnya
jin tersebut bersetuju keluar dan berjanji tidak akan mengganggu wanita
itu lagi. Setelah ia sedar, saya beri dia minum segelas air rawatan dan
minta ia sapukan sedikit kemukanya. Apa yang saya tidak sangka, selepas
lima minit wanita tersebut sedar, dia sudah mula boleh bercakap dan
tubuh badannya yang bengkak dan amat panas tadi, telah kembali normal
seperti biasa. Sewaktu mereka pulang juga wanita tersebut sudah boleh
berjalan sendiri, dan tidak dipapah lagi oleh suaminya.
Keesokan
harinya saya mendapat panggilan telefon dari suami wanita tersebut,
mengucapkan terima kasih dan memberitahu isterinya sudah sihat
sepenuhnya.
Maha Suci Allah, Dialah Pemilik Kesembuhan, Dialah yang menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebathilan
No comments:
Post a Comment