Manis dan masam adalah singkatan untuk senyuman yang manis dan muka yang masam. Ada apa dengan senyuman yang manis dan muka yang masam? Cuba ambil satu contoh di mana dua kata sifat ini iaitu manis dan masam mempunyai persamaan dalam sesuatu benda. Contoh yang boleh digunakan yakni paling hampir adalah buah-buahan.
Ada apa dengan buah? Apa kaitan dengan masam dan manis? Cuba dibayangkan begini, jika kita makan buah, apa ekspresi hati kita yang pertama sekali terhadap buah tersebut? Tentulah dengan mengharapkan buah yang kita makan itu rasanya manis.
Jika kita dapat makan buah yang manis, satu perasaan telah terserap sehingga bukan sahaja lidah yang bergetar tetapi seluruh badan menikmati keindahan kemanisan buah tersebut. Hati berasa tenang dan kita menikmati kemanisan buah tersebut.
Ia adalah sebuah perasaan yang indah sekali. Tetapi, bagaimana pula buah yang kita makan adalah buah yang masam rasanya? Tubuh kita akan mengeletar juga tetapi mengeletar kerana tidak tahan dek kemasamam buah tersebut. Perasaan kita pun akan menjadi kurang senang dan akan rasa kecewa terhadap buah tersebut.
Begitulah perumpamaan yang ingin
disampaikan dengan senyuman yang manis dan muka yang masam. Cuba renungkan kembali, apa yang ada dengan senyuman yang manis? Apabila kita bertemu dengan orang yang pertama kali kita jumpa, apakah perasaan kita apabila dia menunjukkan ekspresi muka yang masam? Pasti kita ingat kita ada buat salah dengan dia. Mungkin juga kita rasa dia tidak menyukai kita.
Pelbagai lagi perasaan yang negatif dan tidak senang yang akan menyelubungi kita kerana muka yang masam.
Itulah perasaan orang lain jika kita menujukkan muka yang masam terhadap orang lain. Sama ada orang yang baru pertama kali kita jumpa atau orang sudah lama kita kenal. Dengan muka yang masam, pertalian untuk membina ikatan kawan pasti akan dihalang seperti mempunyai tembok yang besar di antara kita dan dia. Pasti susah untuk mengikatkan ikatan silaturrahim kerana tidak ada perasaan yang selesa.
Bagaimana jika perkara yang sebaliknya berlaku? Orang yang kita jumpa mengukir senyuman yang manis sehinggakan kita dapat melihat keikhlasan dan ketelusan hatinya ketika dia melemparkan senyuman tersebut. Pasti kita akan dapat merasakan satu perasaan yang menyenangkan dan terasa senang dengan orang tersebut.
Perasaan tersebut hampir sama dengan perasaan kita makan buah yang manis di mana kita berasa keseronokan memakan buah yang manis sehinggakan kita akan mencari buah yang manis dan memakannya sehingga kita puas.
Jadi, jika kita berasa senang dengan orang yang melemparkan senyuman kepada kita, adakah berat untuk kita untuk mengukirkan senyuman yang manis kepada orang disekeliling kita? Lebih-lebih lagi orang yang kita bersalaman dan memandang tepat ke kedua-dua matanya.
Dengan senyuman, pasti kita akan mudah untuk berkenalan atau berbicara apabila kedua-dua pihak sama-sama senyum dalam pertemuan pertama. Semua urusan akan dapat berjalan dengan baik segala perbincangan pasti lancar.
Kita sudah mengerti bahawa dengan senyuman, orang disekeliling akan berasa senang dengan kita dan perasaan yang menyenangkan akan menusub ke kalbu. Senyuman adalah kelebihan bagi seseorang dan ia ada dalam diri setiap orang.
Senyuman dapat mempamerkan keikhlasan hati kita terhadap orang yang kita ketemu. Kita dapat membaca senyuman yang bagaimana dilemparkan kepada kita sama ada ikhlas atau plastik ataupun terpaksa. Barulah kita tahu orang yang melemparkan senyuma plastik ini menyimpan satu perasaan yang mungkin telah menganggu hati kita.
Jadi, secara tidak sedar kita pun mungkin akan melemparkan senyuman plastik ini apabila kita bertemu dengan orang yang kita tidak sukai. Tetapi, berbaloikah senyuman itu? Ini kerana ia akan membuatkan kita seperti orang yang hipokrit dan telah mencalarkan maruah senyuman diri kita sendiri.
Bagaimana untuk mengetahui atau ingin mengukirkan senyuman yang ikhlas dan tulus? Pelbagai cara yang boleh diaplikasikan atau dilihat untuk memastikan senyuman itu tulus dan ikhlas. Tapi, ingin dipersoalkan disini, adakah senyum kambing itu adalah senyum yang ikhlas?
Ada juga perumpamaan senyum sampai ke telinga. Senyuman-senyuman perumpamaan ini merupakan senyuman yang ditujukan kerana gembira mendapatkan sesuatu atau malu terhadap seseorang. Ia juga boleh di kategorikan sebagai senyum yang mengada-ngada apabila bertemu dengan seorang yang kita suka.
Tetapi, perumpamaan ini terjadi ekoran dengan sifat orang melayu yang sering membawa bahasanya ke tahap yang tinggi. Contoh yang lain adalah senyum sinis, itu adalah contoh senyum yang tidak ikhlas. Senyum yang paling baik dan manis dilihat adalah senyum yang panjang diukirakan bibir apabila kedua-dua sisi bibir semakin panjang. Selain itu ada juga senyum yang menampakkan sebahagian atas giginya.
Mata juga memainkan peranan dalam senyuman yang ikhlas di mana, senyuman yang manis diikuti dengan mata yang semakin sepet atau dikecilkan. Pendak kata, walaupun senyuman yang bagaimana dilemparkan, ia akan menjadi senyum yang menampakkan keikhlasan hati apabila kemanisan terpancar dari wajah. Sebab itu disebutkan sebagai senyuman yang manis.
Marilah kita melihat contoh senyuman dari konteks junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW. Dalam perjuangan Nabi Muhammad saw dalam menyebarkan ajaran Allah SWT bukanlah sebuah perjuangan yang mudah. Sebaliknya, ia adalah perjuangan yang teramat berat yang sukar ditempuhi oleh manusia yang lemah sperti kita. Beliau menghadapi orang yang luar biasa liciknya, kejam, yang ingin membunuhnya, dan penguasa yang zalim.
Pelbagai cacian dan maki hamun telah dilemparkan kepada beliau tetapi, semua itu beliau lalui dengan penuh kesabaran dan keikhlasan. Seolah beliau tidak merasakan beban dan perjuangan yang sangat berat tersebut.
Ketika matahari terik di siang hari, Nabi Muhammad saw mendatangi kota Thoif untuk menyampaikan berita gembira yakni menyampaikan kalimah “Tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah.” Namun, tidak sempat beliau menyampaikannya, penduduk Thoif melempari baginda dengan batu dan telah menyebabkan giginya patah dan berdarah ekoran lemparan batu tersebut.
Malaikat Jibril pun turun dan menawarkan bantuan kepada Nabi Muhammad saw. Malaikat Jibril berkata, "Wahai kekasih Allah, apa yang kau ingin aku lakukan terhadap mereka. Jika kau mahu, aku akan membalikkan tanah yang menumpangkan mereka sehingga mereka hilang ditelan bumi?"
Nabi Muhammad saw kemudian menjawab; "Jangan wahai Jibril. Mereka melakukan itu kerana sesungguhnya, mereka tidak tahu. Mungkin hari ini mereka menolak ajaranku, tapi aku berharap anak cucu mereka di kemudian hari akan menjadi penerus dalam menyampaikan risalahku."
Begitu luar biasa akhlak Nabi Muhammad SAW, dalam hinaan, cacian, fitnah,dan ejekan, salah satu metode dakwah beliau yang paling mendasar dan menyentuh tidak pernah dilupakan. Kehangatan senyum senantiasa membasahi bibir beliau dalam kehidupan dan dakwahnya. Senyum yang akan menyejukkan setiap mata yang melihatnya. Senyum yang senantiasa menggetarkan hati para sahabat dan umatnya. Senyum itulah yang selalu menghiasi menu pembuka, utama, dan penutup dalam dakwah Nabi Muhammad saw.
Dari Jabir RA, ia berkata, "Sejak aku masuk Islam, Rasulullah SAW tidak pernah menghindari dariku. Dan beliau tidak melihatku kecuali beliau pasti tersenyum kepadaku." (HR. Bukhari dan Muslim)
Ketika Aisyah RA ditanya tentang akhlak Nabi Muhammad SAW, ia menjawab: “Akhlaknya adalah Al Quran.” (HR,.Ahmad dan Muslim)
Anas bin Malik bertutur: “Suatu hari aku berjalan bersama Rasulullah SAW, saat itu beliau memakai selimut dari daerah Najran yang hujungnya sangat kasar. Tiba-tiba ia ditemui seorang Arab dusun. Tanpa permintaan, lelaki dusun itu langsung menarik selimut kasar Rasulullah saw itu keras-keras sehingga aku melihat bekas merah di pundak Rasulullah SAW.
Lelaki dusun tersebut berkata, ‘Suruh orang-orangmu untuk memberikan harta Allah kepadaku yang kau miliki sekarang.’ Rasulullah SAW lalu berpaling kepada lelaki tadi. Sambil tersenyum, beliau bersabda, ‘Berilah lelaki ini makanan apa saja’.” (HR Bukhari)
Lihatlah betapa Nabi Muhammad senantiasa menebarkan senyumnya dalam setiap perjalanan dakwah beliau. Dan dengan senyum itulah, tak terhitung sudah hati yang tersentuh olehnya. Tak terhitung sudah kesombongan yang telah luluh kerananya. Tak terhitung sudah jiwa yang senantiasa merindukannya. Dengan senyuman, beliau mampu mempamerkan hampir separuh akhlaknya baiknya kepada sesiapa yang melihat baginda.
Dengan senyum hangatnya itulah Nabi Muhammad saw telah banyak menyentuh hati para sahabat, isteri-isteri, dan para pengikutnya. Dan dengan senyum itu pulalah dakwah beliau terus tersebar ke setiap pelusuk bumi Allah SWT.
Bahkan mengenai senyum ini Nabi Muhammad saw telah bersabda, "Senyummu di depan saudaramu adalah sedekah." Hadits Riwayat At Tirmidzi dalam sahihnya.
Demikian Nabi Muhammad saw telah menggambarkan kepada kita mengenai pentingnya senyum dalam kehidupan manusia. Dan sebagai umatnya, kenapa kita tidak berusaha untuk mengikuti jejak beliau yang satu ini? Menjalani kehidupan ini dengan selalu tersenyum. Dan berjuang dalam dakwah Islam ini pun tanpa melupakan senyum.
Hiasi perjuangan dakwah Islam kita dengan senyum yang hangat, kerana senyum itulah yang pertama kali akan menyentuh hati saudara-saudara kita. Hilangkan kekerasan dan wajah masam dari dakwah kita yang justeru akhirnya akan membuat mereka lari dari ajakan kita, dan bahkan membenci kita.
Selain itu, senyuman ada menyimpan satu rahsia sebenarnya. Ia adalah rahsia yang mampu memberi kebaikan kepada diri kita. Para saintis mendapati senyum dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon.
Pengkaji dan pengamal barat percaya dengan memulakan hari dengan senyuman bukan sahaja berupaya menceriakan hidup anda tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut ‘tersenyum’ dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak.
Apabila darah yang ‘sudah sejuk’ ini sampai ke hipotalamus (bahagian yang mengawal suhu badan dan emosi) ia menghasilkan kesan ‘gembira’.
Selain itu, apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi.
Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri.
Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar dengupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar ini akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa.
Anda juga perlu sedar bahawa kanak-kanak lebih banyak ketawa dari orang dewasa. Kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun ketawa 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari di kalangan orang dewasa. Justeru tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan.
Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua jenis ‘stress’ iaitu stress yang baik dan stress yang tidak baik. Senyum dan ketawa dikategorikan sebagai stress yang baik. Stress yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan.
Dalam kajian di atas, dua kumpulan orang dewasa telah digunakan ebagai eksperimen. Kumpulan pertama dipertontonkan cerita-cerita lucu manakala kumpulan kedua diletakkan disebuah bilik tanpa berbuat apa-apa. Sampel darah diambil 10 minit sebelum dan selepas kajian dibuat. Dari keputusan sampel darah tersebut, kumpulan pertama didapati peningkatan hormon semakin baik seperti hormon ‘endorphins’ dan hormone ‘neurotransmitters’ dan penurunan tahap hormon stress ‘cortisol’ dan ‘adrenaline’ .
Ketika kita ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-inteferon (protein melawan penyakit), sel T (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi melawan penyakit).
Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Banyak kajian terbukti bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung.
Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, atritis dan ulser. Pusat Perubatan Universiti Maryland menjalankan kajian ke atas 300 responden dan mendapati 40 peratus orang yang mengidap penyakit jantung kurang ketawa berbanding orang yang sihat.
Senyuman dan ketawa antara senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan. Ketawa ‘mengurut’ organ dalam abdomen dan menguatkan otot abdomen, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan keupayaan untuk belajar. Ia melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi; membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru.
Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekali gus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrient dalam badan. Ada juga yang percaya ketawa boleh membakar kalori seperti kita bersenam beberapa minit.
Senyum mampu menjadi penawar pada penyakit rohani yang kronik. Senyum tidak perlu modal, hanya sekelumit rasa ikhlas yang bisa memaniskan senyuman itu. Senyuman yang dilemparkan mampu menyerikan hari insan lain. Mungkin juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah atau mampu juga untuk memulakan sesebuah ikatan.
Selain itu, terdapat beberapa faedah senyum. Antaranya:-
1. Senyum dapat membuat kita tampak menarik.
Orang yang banyak tersenyum memiliki daya penarik. Orang yang suka tersenyum membuat perasaan orang disekitarnya damai dan senang hati. Orang yang selalu merungut, cemburu, dan mengerut dahi membuat orang-orang di sekitar tidak selesa. Apabila diperhatikan orang yang banyak tersenyum memiliki lebih banyak teman.
2.Senyum mampu mengubah perasaan.
Jika kita sedang sedih, cubalah senyum. Senyuman akan membuat perasaan menjadi lebih baik dan seronok. Menurut pemerhatian, senyum dapat menguatkan tubuh sehingga perasaan berubah menjadi semakin tenang secara sendiri.
3.Senyum dapat menghilangkan stres.
Stres dapat dilihat pada raut wajah. Senyuman boleh menghilangkan lelah, bosan, dan sedih. Ketika kita stres, ambillah waktu untuk tersenyum. Senyuman akan mengurangi stres dan membuat fikiran lebih jernih.
4. Senyum meningkatkan imuniti.
Senyum membuat sistem imun bekerja lebih baik. Fungsi imun tubuh bekerja secara maksima ketika seseorang berada dalam keadaan rehat dan tenang.
5. Senyum boleh menurunkan tekanan darah.
Cuba anda catatkan tekanan darah saat anda tidak tersenyum dan catat lagi tekanan darah saat anda tersenyum semasa diperiksa. Tekanan darah saat anda tersenyum pasti lebih rendah.
6. Senyum mampu buat kita awet muda.
Dengan senyuman dapat menggerakkan banyak otot . Dikatakan kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi. Dengan banyak tersenyum kita akan kelihatan lebih awet muda.
7. Senyum membuat kita kelihatan berjaya.
Orang yang sentiasa tersenyum kelihatan lebih berkeyakinan, terkenal, dan berwibawa. Lihatlah orang-orang yang berjaya, senyuman di wajah tak pernah lekang.
8. Senyum membuat fikiran positif.
Cuba praktikkan. Fikirkan perkara-perkara buruk/negatif sambil tersenyum. Mesti susah kan? Sebabnya, ketika kita tersenyum, tubuh mengirim satu signal positif "hidup selalu baik". Sehingga saat tersenyum, tubuh menerimanya sebagai anugerah alami.
9. Senyum dapt murahkan rezeki meleraikan kesulitan.
Kita ambil satu kisah seorang ahli sufi terkenal, Abu Yazid Al Busthami yang pernah didatangi seorang lelaki, wajahnya kusam dan berkerut. Dengan murung lelaki itu mengadu:
“Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah saya tinggal ibadah saya kepada Allah. Sewaktu orang lain sedang tidur, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas yang enggan mencari rezeki. Tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?”
Tuan Guru menjawab sederhana:
“Perbaiki penampilanmu serta ubah air muka dan raut wajahmu. Tahukah kamu, Rasulullah SAW adalah seorang yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. Sebab menurut Rasulullah SAW, salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya.”
Sekarang cuba praktikkan beberapa tips senyum ni. Insya-Allah anda akan lihat hasil kehidupan anda amat memuaskan. Senyumlah ketika:
1) Bangun dari tidur - mulailah kehidupan dengan penuh keceriaan
2) Selepas mandi – tubuh bertambah-tambah segar dengan mandian dan senyuman
3) Sebelum mulai sesuatu kerja – kerja yang sukar menjadi mudah
4) Buntu, masalah – fikiran jadi terbuka, mudah dapat idea bernas & jalan keluar
5) Sebelum & selepas ibadah wajib & sunat
6) Sebelum tidur – dapat leraikan ‘sampah’ dalam fikiran. Tidur jadi nyenyak.
7) Setiap keadaan
Banyak cara kita boleh senyum. Mahu atau tidak dahaja. Tak perlu keluar modal pun. Tapi inilah yang sering kita lupa. Sekarang sudah tahu, kita faham, maka amalkanlah. Untung pada diri sendiri juga, orang di sekeliling pun dapat ‘habuannya’.
Tetapi, janganlah kita melampau-lampau dalam ketawa. Cukuplah sekadar ketawa yang sederhana. Jangan sampai ketawa ini mampu merendahkan mertabat diri kita. Nabi Muhammad SAW ketawa paling kuat pun adalah dengan senyuman sahaja. Jadi, senyuman adalah asset yang paling berharga buat kita. Jangan lupa akan keistimewaan kita dan sentiasa senyum sambil sebut nombor “tigaaaa……”
No comments:
Post a Comment