Friday, September 12, 2008

Bentuk kampung digital


 
Teknologi tanpa wayar WiMax, Wi-Fi menyediakan sambungan jalur lebar jarak jauh berkeupayaan tinggi

Wi-Fi
- Standard antaramuka IEEE 802.11b dan 802.11g
- Ruang liputan kecil/terhad antara 45 meter hingga 90 meter.
- Capaian menggunakan PC, notebook, PDA dan telefon pintar

WiMax
- Standard antaramuka IEEE 802.16
- Ruang liputan luas hingga 50 kilometer
- Perlukan menara pemancar
- Capaian menggunakan PC, notebook, PDA dan telefon pintar


USAHA mewujudkan kampung digital di negara ini ke arah membentuk masyarakat bermaklumat pelbagai peringkat mampu direalisasikan melalui penggunaan teknologi termaju yang antaranya memanfaatkan kemudahan WiMax dan Wi-Fi.

WiMax adalah standard berasaskan teknologi tanpa wayar yang menyediakan sambungan jalur lebar berkeupayaan tinggi secara jarak jauh dan boleh digunakan untuk beberapa aplikasi, antaranya termasuk sambungan jalur lebar last mile, hotspots dan sambungan berkelajuan tinggi enterpris untuk perniagaan.

Banyak kampung di negara ini yang masih tidak menikmati kemudahan sambungan ke teknologi termaju ini namun Pengurus Negara Intel Malaysia, Chris Tan, yakin teknologi seperti Wimax mampu menyediakan kemudahan akses kepada sistem komunikasi termaju yang sekali gus dapat merealisasikan kewujudan kampung digital.

Memandangkan ia akan membabitkan kos tinggi untuk memasangkan talian bumi ke kawasan berkenaan, beliau yakin teknologi Wimax adalah pilihan paling berkesan ke arah menyediakan akses dalam membentuk kampung digital.

�Banyak konsep untuk menyediakan kemudahan sambungan atau akses ke kawasan berkenaan namun dalam konsep menyediakan kemudahan hubungan jauh ini khususnya bagi geografi di negara ini, Wimax dilihat sebagai potensi terbaik memangkinkan pembinaan kampung digital,� katanya kepada media di Langkawi, minggu lalu.

Walaupun Wi-Fi (802.11a, b dan g) lebih menjuruskan kepada kawasan setempat seperti dalam pejabat atau hotspot, Wimax adalah teknologi jalur lebar tanpa wayar untuk kawasan meluas merangkumi kawasan luas, metropolitan dan kawasan luar bandar.



Ia berupaya menyediakan kadar data sehingga 75 Mbps bagi setiap pangkalan stesen dan apa yang menjadikan Wimax menarik ialah potensinya menyediakan akses tanpa wayar jalur lebar ke seluruh kawasan, sama ada metropolitan atau luar bandar.

Wimax bukannya satu teknologi baru dan mampu menjadi pengubah dalam industri telekomunikasi dengan kadar liputan sehingga antara 40 hingga 50 kilometer yang mana ini menjadi alternatif kepada teknologi jalur lebar tradisional yang menggunakan saluran kabel dan telefon.

Di samping teknologi itu, Chris berpendapat Wi-Fi juga mampu mewujudkan kampung digital yang mana penggunaan teknologi termaju Intel ini sudah diguna pakai dalam sektor pendidikan negara ini, terutama di kawasan luar bandar.

Melalui pelaksanaan teknologi ini, katanya, pelajar yang menikmati kemudahan ini berupaya untuk memperkenal atau melaksanakan kemudahan itu kepada keluarga di kampung yang seterusnya akan menular ke dalam kampung berkenaan.

�Teknologi WiFi yang diperkenalkan Intel dengan kerjasama Kementerian Pelajaran baru-baru ini yang memanfaatkan sambungan tanpa wayar berupaya menjadi platform kepada pelajar berkenaan menyalurkan kemudahan teknologi termaju itu kepada keluarga, sekali gus membantu ke arah pembentukan kampung digital,� katanya.

No comments: