Saturday, August 22, 2009

Cermin gelap: haram atau halal?

PERSOALAN pemasangan cermin gelap pada kenderaan di negara ini, sepatutnya tidak perlu dipolemikkan, dijadikan isu atau dipersoalkan pun. Ini kerana peraturan mengenainya sudah nyata dan terang.

Mengikut peraturan kecil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu Kaedah 5 (1) dan Kaedah 5 (3), Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu), 1991 menetapkan cermin depan hendaklah telus cahaya tidak kurang dari 70 peratus manakala cermin belakang dan tepi hendaklah telus cahaya tidak kurang 50 peratus.

Tetapi masalahnya ialah pelaksanaan dan penguatkuasaan serta kefahaman rakyat mengenai peraturan ini. Mari kita sama-sama meneliti isu ini.

Pertamanya, mengapa peraturan JPJ ini dikuatkuasakan? Jawapan ringkas dan mudah ialah ia bertujuan melancarkan tugas pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang oleh polis. Ini terutamanya bagi memudahkan polis mengesan penjenayah. Jika kereta cermin gelap, payah untuk mendapatkan gambaran rupa dan bilangan mereka daripada saksi-saksi. Ini adalah fakta. Semua kita harus akur.

Namun, ramai yang bertanya - hanya kerana soal penjenayah, maka jutaan rakyat Malaysia lain yang patuh kepada undang-undang telah dihalang daripada menikmati keselesaan cermin gelap?

Bagi mereka yang memperjuangkan supaya dibenarkan penggunaan cermin gelap, hujah utama yang dikemukakan ialah cermin gelap mampu melindungi kesihatan mereka daripada terik cahaya matahari.

Setakat ini, belum ada pihak yang mengemukakan kajian saintifik mengenai kesan matahari di Malaysia - sama ada disengajakan atau tidak. Jika ada pun, ia lebih berbentuk komersial iaitu untuk produk penjagaan kulit. Bagaimanapun, bahang matahari tropika di negara ini, tidak perlu dipertikaikan. Kita semua tahu betapa teriknya matahari pada paras 43 darjah selsius!

Sejak dari tahun lalu lagi, JPJ telah menguar-uarkan rancangannya untuk mengadakan operasi membanteras cermin gelap secara menyeluruh di Malaysia mulai Januari lalu.

Menurut sumber, hasrat itu terpaksa ditangguhkan berikutan mesin yang ditempah tidak dapat dilunaskan pembeliannya. Ini berikutan harga sebuah mesin pembaca sukatan kegelapan filem cermin itu bernilai RM500,000 sebuah.

Mengapa perlu mesin baru pula? Ia disebabkan mesin sedia ada tidak berapa efisien. Alat pembaca sedia ada memerlukan cuaca matahari yang tepat. Pemeriksaan hendaklah di tempat terbuka. Bukan berbumbung atau dibawah pokok. Dan jika mendung sikit (atau jerebu), bacaannya akan berlainan.

Menurut sumber lagi, berikutan perbezaan bacaan alat berkenaan, beberapa kes mahkamah telah menyaksikan kemenangan di pihak pemilik kenderaan bercermin gelap.

Pada pertengahan tahun ini satu operasi besar-besaran diadakan di Kelantan. Riuh dan heboh. Masuk akhbar dan berita televisyen. Tetapi, tiba-tiba ia senyap. Kemudian timbul berita kecil mengatakan pihak berkuasa memutuskan untuk `menangguhkan sementara' operasi cermin gelap di seluruh negara.

Difahamkan, Kementerian Pengangkutan berbuat demikian disebabkan desakan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menuntut kerajaan mengubah larangan yang disifatkan peraturan lapuk itu (1991 lapuk?). Hujah mereka sama. Cermin gelap wajar diluluskan demi kesihatan pemandu di negara ini.

Selain itu, penangguhan operasi itu juga didakwa kerana JPJ berdepan dengan masalah pembiayaan. Menurut sumber, alat pembaca filem cermin itu mahal harganya. Dan ia perlu dibekalkan ke seluruh negara iaitu ke setiap bandaraya dan daerah. Kos yang tinggi telah membantutkan proses kelulusan bajet, kata sumber lagi.

Dan terbaru, kementerian mengumumkan pula operasi pemeriksaan cermin gelap akan dilaksanakan pada bulan Oktober ini. Harap-harap tiada lagi yang menghalang pelaksanaannya kali ini.

Satu aspek lagi yang perlu diberi perhatian serius oleh Kementerian Pengangkutan ialah perihal kedai-kedai menjual filem gelap untuk cermin kenderaan. Ia sama seperti soal telur dan ayam. Jika kerajaan mengharamkan penggunaan cermin gelap, kenapa peniaga-peniaga dibenarkan menjual filem seumpamanya? Isu ini mungkin melibatkan kementerian lain tetapi jika tidak diperhalusi, penguatkuasaan JPJ pasti menimbulkan rasa berang di pihak pengguna. Banyak produk filem cermin gelap hari ini mendakwa memiliki kelulusan JPJ, malah terdapat produk yang siap dengan logonya.

Aspek lain ialah penggunaan cermin gelap juga rata-ratanya berkaitan kenderaan terpakai yang diimport atau istilah `masuk guna AP atau Permit Import'. Kereta-kereta berkenaan diimport dari negara asal tanpa banyak perubahan spesifikasi kenderaan, termasuk cermin gelap.

Setiap pendaftaran kenderaan perlu diluluskan oleh Puspakom. Apa yang berlaku ialah pembeli kena membayar tambahan RM600 sebagai upah memasang cermin biasa, khusus bagi kelulusan Puspakom. Bila sudah dapat kelulusan, cermin gelap itu akan dipasang kembali.

Difahamkan, Kementerian Pengangkutan ada mengadakan sesi dialog antara pihak berkuasa dengan wakil-wakil NGO mengenai isu penggunaan cermin gelap ini. Sewajarnya debat mengenai isu ini dibuka kepada umum. Selain pendapat NGO-NGO berkenaan, mungkin sudah tiba masanya supaya suara rakyat secara meluas turut diperolehi sama ada mahukan peraturan cermin gelap ini diteruskan atau ditamatkan atau dilonggarkan.

No comments: