Saturday, March 28, 2015

Solat Jamak

Cara Solat Jamak Taqdim & Takhir Yang Betul Dari JAKIM


Cara Solat Jamak

Selalunya, di hentian R&R Lebuh Raya Utara Selatan (R&R), kita biasa nampak tatacara solat jamak dan qasar di dinding surau. Bila mahu solat, kita baca. Lepas itu, lupa. Jika singgah lagi di R&R, baca lagi. Selepas itu, lupa lagi. Mungkin kerana tidak dipraktikkan, kita selalu lupa.
Apabila bermusafir, tidak kira menaiki kenderaan di darat, laut atau udara, kita dibolehkan melakukan solat jamak. Namun, bagi orang yang tidak biasa, tentu agak janggal. Oleh yang demikian, ini adalah perkongsian agar kita dapat ketahui cara solat jamak taqdim dan takhir dari sumber yang mempunyai kredibiliti iaitu JAKIM.

Apa itu solat jamak?

Menurut JAKIM, takrifan solat jamak terbahagi kepada dua, iaitu:
i. Jama’ Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib.
ii. Jama’ Ta’khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’.

Apakah syarat solat jamak?

Untuk solat jamak taqdim:

i. Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya’.
ii. Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.
iii. Berturut-turut di antara solat yang dijama’kan itu.
iv. Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul ihram solat yang kedua.
v. Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya’).

Untuk solat jamak taakhir:

i. Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib.
ii. Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat yang kedua.

Bagaimana cara dan contoh niat solat jamak?

Untuk jamak taqdim:

i. Jama’ Taqdim Empat Rakaat

أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى

(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)
ii. Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى

(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)

Untuk jamak taakhir:

i. Jama’ Ta’khir Empat Rakaat

أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى

(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah)
ii. Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى

(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah)

Akhir kata

Semoga artikel cara solat jamak ini dapat membantu kita melakukan ibadah, walau di mana kita berada. Usah sesekali meringankan solat, walaupun bermusafir. Semoga perjalanan kita mendapat keredhaan Allah.

No comments: